Tuesday, 30 October 2012

Hari-hari akhir di PSI

*harap maaf, diatas faktor-faktor kesibukan mengulang kaji pelajaran, blog official PSI terpaksa ditangguh.



SEMINGGU sudah berlalu. 16-23 Okt,alhamdulillah berkat kesungguhan mereka akhirnya minggu peperiksaan telah pun berjaya ditempuhi dengan selamat. Seramai 19 pelajar PSI (Pusat STAM Ikram) yang terdiri daripada 14 ikhwah dan 5 akhawat  berjaya sampai dan menduduki peperiksaan STAM (Sijil Tingggi Agama Malaysia) di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang.


Namun, apabila berakhirnya "demam peperiksaan" sebuah perpisahan yang panjang menanti. Alhamdulillah, perancangan untuk mengadakan Majlis Perpisahan PSI pada sehari selepas tamatnya peperiksaan iaitu pada 24 Oktober berjalan dengan lancar. Rata-rata, semua pihak dapat menghadiri majlis walaupun antaranya ada yang sibuk.


Majlis yang dibuka dengan Al-Faatihah serta bacaan Al-Quran oleh Akhi Thufail Sayuti, alunan ayat suci Al-Quran itu sangat menyentuh kalbu terutama ketika dibacakan ayat "innama mukminunal ikhwah", di mana mafhumnya "sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara". Dan kemudiannya disululi dengan ucapan-ucapan. Yang pertama memberi ucapan ialah Ustaz Fakhrul Adabi selaku wakil Lembaga PSI. Beliau ada berpesan:
"Tertubuhnya PSI ini bukan sebarang-barangan, tertubuhnya PSI ini kerana ianya merupakan salah satu cara untuk melahirkan ulama'-ulama' deenul islam, jadi antum di sini bukan sahaja seorang pelajar, tapi seorang ulama' kelak.. Insyaallah".
Seterusnya diikuti dengan wakil daripada guru yang mengajar, Ustaz Wan Subki, kata beliau:
"Disaat antum sampai di muka pintu rumah, saat itu juga ada yang mungkin akan teringat akan PSI. Mungkin boleh sampai berhari-hari, dan mungkin juga boleh sampai bertahun-tahun, sebab apa, sebab disinilah pertemuan pertama kita, kita berukhuwwah hanya keranaNYA".
Dan kemudiannya Pakcik Norawi selaku wakil penduduk Taman Damai Mewah. Beliau menyatakan  beliau merupakan antara penduduk yang paling terasa dengan pemergian pelajar PSI kerana banyak antara program surau yang dianjurkan, dapat dilaksanakan dan dilalui bersama-sama dengan pelajar PSI. Jadi, harapan beliau agar kami semua tidak melupakan kenangan di Taman Damai Mewah, Kajang. Dan dengan harapan  agar pelajar PSI terus menyebarkan kebaikan. Sesi ucapan diakhiri dengan ucapan daripada wakil pelajar Akhi Wan Abdul Rahman selaku Ketua Umum PSI. 


Beransur pula pada agenda seterusnya, majlis dihiasi dengan persembahan daripada kumpulan nasyid PSI. Mereka mendendangkan dua buah lagu. Diserikan pula dengan persembahan video montaj daripada Lujnah Media PSI oleh Akhi qIyadh. Selesai segala persembahan, tibalah acara penyampaian cenderahati daripada pelajar Pusat STAM Ikram kepada pihak-pihak yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti dan program PSI sebagai tanda penghargaan daripada pelajar Pusat Stam Ikram.

Dan akhir sekali, majlis ditutup dengan bacaan doa rabithah dan doa makan daripada Akhi Ahmad Akmal. Tasbih kafarah dan surah Al-'Asr, dan disusuli jamuan makan.



Sebelum bersurai, sesi fotografi terakhir dirakam untuk dikepilkan sebagai tanda kenangan yang terindah PSI. Ikhwah dan akhawat bersalaman sesama ikhwah dan akhawat menjadi momen terakhir sebelum masing-masing mengucapkan selamat tinggal. Tidak kurangnya ada dari kalangan ikhwah dan akhawat, ada yang mengalirkan air mata tanda mahabbah dan kecintaan kerana Allah. InshaAllah ikhwah wal akhawat, kita bersama-sama di medan dakwah. Meski kita terpisah jauh.

~Hikayat Jeelul Mu'assis~

Thursday, 11 October 2012

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN STAM

Pada hari Selasa bersamaan dengan 16 Oktober 2012 ini, maka bermulalah perjuangan para pelajar bagi Pusat STAM Ikram. Berbekalkan dengan persediaan yang rapi, mereka akan menduduki peperiksaan STAM yang akan menentukan hala tuju mereka selepas ini.

Mereka akan menduduki peperiksaan dari 16 Oktober 2012 hingga 23 Oktober 2012 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin Kelang. Seramai 19 orang pelajar yang terdiri daripada 14 lelaki dan 5 perempuan yang akan menduduki peperiksaan ini.

Diharapkan agar mereka mendapat keputusan yang cemerlang dan seterusnya dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam menempuhi kehidupan seharian, seterusnya meningkatkan lagi imej umat Islam di kaca mata orang bukan Islam. Pusat STAM Ikram mendoakan agar mereka berjaya dengan cemerlang.

Thursday, 12 July 2012

RTH MENGUKUHKAN UKHUWWAH PELAJAR P.S.I.



> Sebelum bertolak 
Ahad, 1 Julai –Bertempat di Taman Botani,Program Rehlah Tarfihi, anjuran Lujnah Tarbiyah Pusat STAM IKRAM(PSI) yang bertemakan  mengakar ukhuwah,merimbun dakwah telah berjaya dijalankan bagi mengukuhkan ukhuwah antara pelajar PSI. Rehlah ini telah  berlangsung selama satu hari suntuk bermula dari jam 7.30 pagi hingga jam 6.30 petang. Taman tersebut sangat sesuai bagi kami untuk melapangkan fikiran setelah penat mencurahkan  idea-idea untuk menyelesaikankan kerja kursus Balaghah dan Adab Nusus. Walaupun program berlangsung secara sederhana, tetapi semangat berukhuwah yang ditunjukan oleh semua peserta memainkan peranan yang besar dalam program rehlah ini.
Program Rehlah Tarfihi ini merupakan salah satu wasilah tarbiyah yang perlu diikuti oleh semua pelajar bagi meningkatkan lagi medium pentarbiyahan pelajar P.S.I.Selain itu juga, program ini dilaksanakan bagi mencapai beberapa objektif yang telah ditetapkan.Ianya ialah :



Objektif Rehlah Tarfihi
1.      Mengeratkan ukhuwwah antara pelajar P.S.I.
2.      Melapangkan fikiran pelajar P.S.I.
            3.   Menambahkan cara untuk bermuayasyah dengan masyarakat

                Rehlah bermula dengan sedikit taklimat tentang tentatif program daripada Pengarah Program iaitu:Akhi Wan Abdul Rahman b Wan Ibrisam Fikri.Setelah selesai sesi taklimat,Aktiviti diteruskan dengan slot pertama.Alhamdulillah semua pelajar telah mengecapi keindahan waktu dhuha dengan menunaikan solat sunat dhuha secara fardi serta melakukan sujud syukur bagi mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah yang telah melancarkan segala urusan hambaNYA.

Pengarah Program Akhi Wan Abdul Rahman b Wan Ibrisam Fikri

D..H.U.H.A

Seusai solat, pengisian Jom Baiki Ukhuwah yang disampaikan oleh Akhi Abdullah Ammar b Mohamed Ruslan, membicarakan tentang sifat ithar yang perlu ada dalam sebuah ikatan persahabatan,hal ini berdasarkan hadis yang  mafhumnya "Tidak sempurna iman seseorang kamu,selagimana kamu tidak mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri".Setelah seronok mengisi hati dengan pengisian yang berkualiti kami  digembirakan hati dengan persembahan kumpulan nasyid P.S.I. yang bertajuk SEMANIS GULA ,dimana ia mengisahkan pentingnya ukhuwah dalam mengizzahkan islam dipersada dunia.

"JOM baiki ukhuwah kita!!"
           
Setelah  rohani telah terisi,tibalah pula aktiviti santapan jasmani yang bertemakan Mari Kita Berukhuwwah.Aktiviti ini merupakan kesinambungan daripada pengisian pertama dengan cara kita mempraktikan apa yang telah diterima.Antara aktiviti yang dijalankan ialah selimut minda,lilin,belon air,gerbang ukhuwwah,tali ukhuwwah dan concentration game.Semua permainan ini berkisar tentang hebatnya ukhuwwah fillah jika dibina kukuh diatas nama illah.








Setelah penat beraktiviti,kami disajikan dengan nasi ayam paprik yang subhanallah, lazatnya.. Alhamdulillah wa syukurillah, haza min fadhli rabbi..akhirnya kepenatan kami terubat dengan menunaikan solat zuhur,kami berkumpul kembali untuk mendengar sedikit perkongsian daripada bekas pelajar STAM Hidayah Ipoh,Akhi Anas b Mohd Hairozi tentang pengalamannya ketika menghadapi peperiksaan STAM. Setelah itu,demi mencapai objektif yang telah ditetapkan,kami meneruskan aktiviti dengan mentadabbur alam ciptaan illahi dengan berjaulah melihat kebesaran Yang Esa.Allahu akhbar!!! Indahnya kebesaran illahi, bumi dihampari dengan kehijauan dedaunan juga kepelbagaian bunga-bungaan yang menghiasi ruangan Taman Botani. Alunan deruan air terjun yang menenangkan hati, memikat sanubari membuatkan kami sedari betapa agungNYA ciptaan illahi dan betapa kerdilnya diri ini. Tidak cukup dengan itu,kami sempat melihat keletah haiwan yang ada disitu sebagai melengkapi jaulah kami hari ini.
Setelah puas berpenat lelah berjalan kaki, kami mencuba untuk menaiki train yang berharga 50 sen seorang. Kami dibawa mengelilingi sekitar Taman Botani juga kawasan luarnya. Bermacam-macam tempat yang kami lalui misalnya Taman Burung,Taman Rama-Rama,Memorial Tun Abdul Razak,Taman Bunga dan sebagainya.








Kami mengakhiri jaulah kami tepat jam 4.30 petang dan terus menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat asar, majlis penutup dan sesi bergambar.Meskipun tirai majlis sudah sampai pengakhiran namun ukhuwwah kami tiada penghujung pengakhiran,ukhuwwah fillah abadan abada...



Laporan disediakan:
PIC program  Rehlah Tarfihi .

Monday, 28 May 2012

ZQ PENCETUS SEMANGAT BARU PELAJAR PSI!


Sabtu, 12 Mei - Berbekalkan dengan tema الشباب وحكمة الشيوخ  حماسة, Program Ziarah Qudama’ (ZQ), anjuran Lujnah Tarbiyah Pusat STAM IKRAM(PSI) berjaya mencetuskan semangat baru kepada pelajar PSI. ZQ yang berlangsung satu hari suntuk itu, dari jam 9.00 pagi hingga jam 7.00 malam, akhirnya, Alhamdulillah   kami sempat menziarahi tokoh lama dalam Jamaah juga merupakan salah seorang pendidik PSI, akhuna Ustaz Alias bin Othman dan zaujahnya; ukhtina Ustazah Dr Anisah di teratak kediaman mereka di Keramat serta YDP. Pertubuhan IKRAM Kajang, akhuna Prof. Dr. Kamal Nasharuddin di Desa Al-Amin. Walaupun program berlangsung sederhana, tapi hakikatnya besar inputnya.
Program Ziarah Qudama’ ini adalah julung-julung kali diadakan di PSI. Ziarah Qudama’ merupakan salah satu program yang perlu diikuti oleh semua pelajar P.S.I. Ianya merupakan salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk mencapai objektif-objektif tertentu. Program ini adalah salah satu medium bagi meningkatkan tarbiyah pelajar P.S.I agar menjadi generasi penggerak dan dapat menyebarkan fahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat. Oleh itu program ini merupakan salah satu cara yang terbaik untuk memantapkan kefahaman serta menjadi sebahagian  medium pentarbiyahan pelajar P.S.I. Justeru itu,beberapa objektif yang telah disenarai gariskan iaitu:

Objektif ZQ
1.      Mengenali dengan lebih dekat tokoh dalam organisasi ini.
2.      Menimba ilmu dan pengalaman daripada tokoh.
3.      Mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah antara pelajar P.S.I.
4.      Mengetahui cara untuk bermuayasyah dengan masyarakat.

   ZQ bermula dengan pengisian pertama di rumah Ustaz Alias Othman. Perkongsian beliau lebih berkisar mengenai sejarah hidup dan pengalaman beliau dalam dunia realiti dan dakwah. Satu perkara yang beliau rasakan berkatnya dalam berjamaah adalah keikhlasan ”...kalau kita ikhlas, kita berkelahi pun kita sampai pada nokhtah yang sama. Kalau kita tak  ikhlas memang kita akan berpecah”. Alhamdulillah, kami juga berkesempatan untuk mendengar sedikit pengisian dari Ustazah Anisah. ”.. bila kita dipertemukan jodoh, dan berkahwin, memang kita tidak sempurna; ada lebih kurang. Jadi dalam ketidaksempurnaan itu perlu ada taaruf; saling kenal-mengenali dan saling cukup-mencukupi antara satu sama lain, insyaallah kita boleh bergerak dalam Jamaah ini dengan baik.” pesan Ustazah. Ustazah Anisah juga berharap agar semua anak-anak P.S.I. mempunyai cita-cita yang tinggi dan mampu serta boleh untuk menyambung pelajaran di peringkat yang tinggi; tidak cukup sekadar ijazah, cuba untuk terus di peringkat master dan PhD, agar ada orang dalam Jamaah ini yang mampu diiktiraf masyarakat dalam menyampaikan dakwah ini. Alhamdulillah, selesai perkongsian oleh Ustaz Alias dan Ustazah Anisah, kami dijemput untuk menjamah makan makanan kampung yang subhanallah, lazatnya.. Selesai di rumah Ustaz Alias, kami bergerak ke Masjid Muaz bin Jabbal untuk menunaikan Solat Fardhu Zuhur dan sedikit perkongsian.
            Slot ‘santai-santai’ di Taman Rekreasi Keramat terpaksa di batalkan melihatkan keadaan trafik yang sesak dan cuaca yang tidak mengizinkan. Slot perkongsian di rumah Prof. Dr. Kamal Nasharuddin berlangsung dengan penuh ketenangan. Alhamdulillah, jika di rumah Ustaz Alias kami perolehi pengalaman beliau dalam waqi’ Timur Tengah, bagi Dr Kamal sebaliknya pula. Perkongsian hidup beliau lebih menjurus pengalaman awal dakwah beliau yang bermula di Barat. Antara yang boleh dikongsikan beliau adalah “kita perlu buat perkara berlaku; Anywhere you go, You must make things happens!. Jangan jadi orang yang menunggu sesuatu perkara berlaku dan jangan pula jadi orang yang tak tahu apa yang berlaku.” Alhamdulillah, tidak cukup dengan santapan rohani dan tsaqafi, kami juga dijamu dengan jamuan Nasi Beryani yang cukup menyelerakan! Alhamdulillah wa syukurillah, haza min fadhli rabbi..
              Rumusnya, penganjuran Program Ziarah Qudama adalah untuk menyahut seruan Allah s.w.t. sesuai dengan mafhumnya, berjalan, bermusafirlah melihat kebesaran Tuhan yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurnia-Nya; nilai harganya iman dan taqwa bagi hamba yang setia..  Berdasarkan pepatah melayu jauh perjalanan luas pengetahuan, insyallah dalam musafir kami kali ini banyak input baru yang sangat bermanfaat dalam kehidupan kami yang bergelar pelajar dan bakal duat, agar boleh digunapakai dalam mewarisi tugas dakwah yang diwarisi para anbiya’ kepada kita.
Wallahu’alam.

MEMBINA GENERASI DU’AT

Laporan disediakan;
PIC ZQ.


















Monday, 2 April 2012

PSI di Global March to Jerusalem (GMJ)


SHAH ALAM – Kemuncak program ‘Global March to Jerusalem’ peringkat Malaysia berlangsung di Stadium Malawati di sini pada Jumaat 30 Mac 2012.

Acara yang berlangsung dari jam lima petang hingga 11 malam itu dinamakan MyGMJ atau nama penuhnya Malaysia Global March to Jerusalem. Ia sebenarnya adalah sambutan GMJ yang diadakan serentak di seluruh dunia, dengan acara kemuncaknya berlaku di Jordan apabila rombongan manusia yang berkumpul di sana dari seluruh dunia memulakan konvoi kemanusiaan ke negara Palestin.


Penganjuran GMJ ini adalah bersempena dengan Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin yang bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera Zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah oleh Israel, menyebabkan enam orang terbunuh dan ratusan lagi cedera. Umat Palestin mengisytiharkan hari tersebut sebagai  'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah mereka kepada peluasan negara haram Israel.

Hampir setiap segmen dalam acara kemuncak MyGMJ kelmarin mendapat tepukan bergemuruh daripada penonton. Rupa-rupanya rakyat negara ini begitu bersemangat mahu melihat tanah Palestin yang dirampas Israel dikembalikan semula kepada pemiliknya. Palestin bukan isu umat Islam sahaja kerana sejarah mencatatkan bahawa ketika Israel mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin pada 1948, 100 ribu daripada mereka adalah orang-orang Kristian. Bahkan perhimpunan yang diadakan di Jordan juga melibatkan rombongan dari seluruh dunia termasuk penganut Yahudi sendiri yang bencikan tindakan melampau puak Zionis.

Selain ucapan-ucapan bersemangat menyokong Palestin, lebih 10,000 hadirin yang membanjiri Stadium Malawati turut disajikan dengan bacaan puisi yang unik oleh Pak Agi (Abdul Ghafar Ibrahim). Pak Agi berjaya 'menjolok' para hadirin untuk bersyair bersama-samanya dalam meluahkan perasaan hibanya tentang nasib Palestin.

Antara ucapan lain yang memukau khalayak adalah ucapan Pengerusi MyGMJ Dr Mohd Tahir Abd Rahman, Pengerusi Viva Palestina Malaysia yang juga Naib Pengerusi MyGMJ Dato Dr Musa Nordin, tokoh akademik Dr Maszlee Malik, juga ucapan daripada wakil bukan Islam, Saudara Wee dan Santhira Morgan. Selain itu diselitkan juga rakaman ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dan anggota parlimen British George Galloway.

Turut dipancarkan adalah perbualan secara 'live' dengan wakil 23 warga Malaysia yang sedang berada di Jordan iaitu Norazmi Talib, Muadz Ruslan dan Aiman Md Zin.

Acara persembahan daripada artis Yasin, Muadz, Mirwana dan tarian Dabka daripada lima pemuda Palestin juga tidak menghampakan. Ia disudahi dengan persembahan flash mob menarik hasil karya mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan. Keseluruhan persembahan menjadi lebih bertenaga di bawah kendalian pengacara berpengalaman, Ally Iskandar dan juga Nurul Iman.

Walaupun terdapat kekurangan pada sistem bunyi, rata-rata pengunjung yang hadir menyaksikan malam kemuncak MyGMJ tersebut berpuas hati dengan mesej, persembahan dan jumlah kehadiran penonton. Dan hakikat  bahawa lebih separuh yang hadir adalah golongan muda sebenarnya menjanjikan masa depan yang cerah buat umat dan negara yang kita cintai ini.



PSI bersama penderitaan Rakyat Syiria

Bismillah.
Allah!
Suriah!
Hurriah!
Wa Bas!