Monday 2 April 2012

PSI di Global March to Jerusalem (GMJ)


SHAH ALAM – Kemuncak program ‘Global March to Jerusalem’ peringkat Malaysia berlangsung di Stadium Malawati di sini pada Jumaat 30 Mac 2012.

Acara yang berlangsung dari jam lima petang hingga 11 malam itu dinamakan MyGMJ atau nama penuhnya Malaysia Global March to Jerusalem. Ia sebenarnya adalah sambutan GMJ yang diadakan serentak di seluruh dunia, dengan acara kemuncaknya berlaku di Jordan apabila rombongan manusia yang berkumpul di sana dari seluruh dunia memulakan konvoi kemanusiaan ke negara Palestin.


Penganjuran GMJ ini adalah bersempena dengan Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin yang bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera Zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah oleh Israel, menyebabkan enam orang terbunuh dan ratusan lagi cedera. Umat Palestin mengisytiharkan hari tersebut sebagai  'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah mereka kepada peluasan negara haram Israel.

Hampir setiap segmen dalam acara kemuncak MyGMJ kelmarin mendapat tepukan bergemuruh daripada penonton. Rupa-rupanya rakyat negara ini begitu bersemangat mahu melihat tanah Palestin yang dirampas Israel dikembalikan semula kepada pemiliknya. Palestin bukan isu umat Islam sahaja kerana sejarah mencatatkan bahawa ketika Israel mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin pada 1948, 100 ribu daripada mereka adalah orang-orang Kristian. Bahkan perhimpunan yang diadakan di Jordan juga melibatkan rombongan dari seluruh dunia termasuk penganut Yahudi sendiri yang bencikan tindakan melampau puak Zionis.

Selain ucapan-ucapan bersemangat menyokong Palestin, lebih 10,000 hadirin yang membanjiri Stadium Malawati turut disajikan dengan bacaan puisi yang unik oleh Pak Agi (Abdul Ghafar Ibrahim). Pak Agi berjaya 'menjolok' para hadirin untuk bersyair bersama-samanya dalam meluahkan perasaan hibanya tentang nasib Palestin.

Antara ucapan lain yang memukau khalayak adalah ucapan Pengerusi MyGMJ Dr Mohd Tahir Abd Rahman, Pengerusi Viva Palestina Malaysia yang juga Naib Pengerusi MyGMJ Dato Dr Musa Nordin, tokoh akademik Dr Maszlee Malik, juga ucapan daripada wakil bukan Islam, Saudara Wee dan Santhira Morgan. Selain itu diselitkan juga rakaman ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dan anggota parlimen British George Galloway.

Turut dipancarkan adalah perbualan secara 'live' dengan wakil 23 warga Malaysia yang sedang berada di Jordan iaitu Norazmi Talib, Muadz Ruslan dan Aiman Md Zin.

Acara persembahan daripada artis Yasin, Muadz, Mirwana dan tarian Dabka daripada lima pemuda Palestin juga tidak menghampakan. Ia disudahi dengan persembahan flash mob menarik hasil karya mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan. Keseluruhan persembahan menjadi lebih bertenaga di bawah kendalian pengacara berpengalaman, Ally Iskandar dan juga Nurul Iman.

Walaupun terdapat kekurangan pada sistem bunyi, rata-rata pengunjung yang hadir menyaksikan malam kemuncak MyGMJ tersebut berpuas hati dengan mesej, persembahan dan jumlah kehadiran penonton. Dan hakikat  bahawa lebih separuh yang hadir adalah golongan muda sebenarnya menjanjikan masa depan yang cerah buat umat dan negara yang kita cintai ini.



No comments:

Post a Comment