Thursday 8 March 2012

Timbalan Presiden Cemburui 'Muassis' PSI


Sabtu, 14 Januari 2012 07:28
Muassis PSI
KAJANG – “Kamu semua adalah pengasas atau muassis PSI yang baru dilancarkan ini. Saya iri hati (positif) terhadap kamu kerana pada usia muda begini kamu mendapat peluang mendalami ilmu-ilmu Islam dalam bahasa syurga iaitu bahasa Arab. Ia berbeza dengan kami ketika muda dahulu yang ‘tak reti apa-apa’,” ujar Timbalan Presiden IKRAM Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Muassis PSIMuassis PSI
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan sesi suai kenal pelajar-pelajar Pusat STAM IKRAM di Apartmen Damai Mewah dekat sini pada Khamis malam. Seramai 30 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2011 dari sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH (Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad), anak-anak ahli IKRAM dan ahli IKRAM sendiri telah mendaftarkan diri pada Isnin lepas.
  
Prof Hatta menganggap generasi pertama PSI ini istimewa dan bertuah kerana mereka lahir pada era dunia Islam sedang berkembang pesat. Sambil menyifatkan generasi pengasas sangat penting kerana perlu berjuang mengatasi kesukaran pada peringkat awal, mereka juga menjadi kayu ukur pertama sejauh mana pendidikan STAM anjuran IKRAM ini berjaya.

Atas sebab itulah, katanya lagi, sebaik sahaja mendapat jemputan daripada Hjh Kamaliah Nordin (Pengerusi Lembaga Pengelola PSI), beliau berasa sungguh teruja dan tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan para pelajar PSI.

“Ingatlah, kedatangan kamu ke sini bukan semata-mata untuk mengejar sijil STAM. Ada banyak lagi cabaran yang perlu diharungi. Tetapi yakinlah anda semua akan berjaya. Biarlah orang lain tidak percaya, tetapi ibu bapa yang menghantar anda ke sini percaya anda akan berjaya.

“Peganglah keyakinan itu kerana kamu nanti adalah ulama pewaris Nabi sallallahu alaihi wasallam. Kamu adalah pembawa wasiat Nabi sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Beliau membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah Fathir ayat ke-28 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.”

Muassis PSI
Prof Dr Mohamed Hatta
Muassis PSI
Muhammad Thufail Sayuti
Muassis PSI
Fakhrul Radzi
Muassis PSI
Prof Ir Dr Kamal
   
Sebelum mengakhiri ucapannya, Prof Hatta berpesan dengan sepotong hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam riwayat Imam Ahmad yang bermaksud:

Empat perkara yang harus dimiliki seseorang maka engkau tidak akan kehilangan dunia seisinya – menjaga amanah, jujur dalam berbicara, berbudi perkerti dan sentiasa menjaga kesucian.”

Muassis PSI
Kumpulan Huffaz Nasyid Entertainment
Sebelum itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan daripada lima pelajar yang mendendangkan beberapa nasyid secara acapella. Pujian harus diberikan kerana lagu-lagu seperi ‘Jalinan’ (UNIC), ‘Perjuangan’ (SaffOne) dan ‘Doa Rabitah’ (UNIC) dinyanyikan dengan paduan suara yang baik sekali walaupun masa untuk mereka berlatih singkat. Bacaan al-Quran pada awal majlis disampaikan oleh Tufail Sayuthi. Ucapan wakil pelajar pula disampaikan oleh Fakhrul Radzi, bekas pelajar SMK Taman Seri Saujana, Kota Tinggi Johor. Beliau merupakan satu-satunya ahli IKRAM dalam kalangan pelajar-pelajar PSI. Sesi suai kenal berlangsung empat hari sejak Isnin lalu dan berakhir pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Naib Presiden IKRAM Ustaz Wan Subki Wan Salleh dan Yang Dipertua IKRAM Kajang Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

No comments:

Post a Comment