Thursday 8 March 2012

Pusat STAM IKRAM Mulakan Operasi


Isnin, 09 Januari 2012 23:55

KAJANG – Pusat Sijil Tinggi Agama Malaysia anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) atau ringkasnya Pusat STAM IKRAM (PSI) hari ini membuka pendaftarannya untuk pengambilan pelajar sesi 2012. Proses pendaftaran dilakukan di Tingkat Satu Apartmen Damai Mewah dekat sini, manakala kelas pengajian akan dijalankan di Institut Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab (INTISAR) di alamat 18, Jalan Damai Mewah 2, Taman Damai Mewah (berhadapan apartmen) bermula Jumaat ini.
PSI

PSI Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola PSI Hjh Kamaliah Nordin (kiri), PSI yang memakan masa 11 bulan itu menggariskan lima objektif iaitu menyediakan pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pengajaran Islam, Ekonomi Islam dan Bahasa Arab; menyediakan pelajar supaya mahir berkomunikasi dalam bahasa Arab; meningkatkan kemampuan pelajar menguasai ilmu-ilmu Islam; mengasah daya kepemimpinan pelajar;  membentuk generasi du'at multazim.

“Kita berusaha melaksanakan pengajian yang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, sebaliknya melahirkan insan yang seimbang dan bakal pemimpin masa hadapan,” ujarnya.

PSI yang julung-julung kali diadakan ini berjaya mendaftarkan 30 orang pelajar lepasan SPM 2011 yang datang dari seluruh tenaga termasuk Kedah, Kelantan dan Johor. Ia memang terdapat dalam rancangan pendidikan IKRAM dan buat masa sekarang, PSI ditawarkan kepada anak-anak ahli IKRAM, pelajar-pelajar rangkaian sekolah MUSLEH dan ahli-ahli IKRAM sendiri. Antara syarat kemasukan adalah berumur tidak kurang daripada 17 tahun serta mempunyai asas dalam bidang agama dan bahasa Arab.

“Insya-Allah suatu hari nanti, apabila kita telah bersedia, PSI akan dibuka juga kepada umum,” kata Hjh Kamaliah.
PSI
Para pelajar akan menghadapi peperiksaan pada November depan dan sebaik sahaja keputusan diketahui pada awal 2013, mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara terutama Mesir dan Jordan ataupun universiti dalam negara.
PSIPSI PSI
  

Selain Hjh Kamaliah, PSI digerakkan oleh Ustaz Zamri Abdul Rahim yang mengetuai bahagian akademik pelajar, Ustazah Solehah Abdullah (Hal Ehwal Pelajar), Ustaz Wan Subki Wan Salleh (Tarbiah), En Abdul Aziz Basri (Kewangan), dan beberapa orang tenaga penting lain.

PSI Menurut Ustaz Wan Subki (kiri), setakat ini pelajar-pelajar akan menginap di tiga unit apartmen yang dijadikan asrama iaitu dua unit untuk pelajar lelaki (tingkat 9 dan 15) dan satu unit untuk pelajar perempuan (tingkat 8). Beliau yang tinggal di salah sebuah rumah di apartmen sama merupakan exco persatuan penduduk yang mengendalikan hal ehwal agama.

“Majoriti penduduk di sini beragama Islam dan mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain. Terdapat ramai juga warga asing berbangsa Arab, jadi saya harap para pelajar dapat mengambil peluang untuk berinteraksi dengan mereka bagi meningkatkan penguasaan bahasa Arab,” nasihat beliau, sementelahan pula kelas-kelas pengajian PSI dijalankan dalam bahasa Arab sepenuhnya.


Namun yang lebih penting, katanya, adalah menjaga imej sebagai pelajar PSI yang membawa nama Islam dan IKRAM.

PSI Seorang bapa, Hj Sazali Nordin (kiri sekali) yang datang dari Johor Bahru berkata, beliau mendapat tahu mengenai PSI daripada seorang kawan yang juga bercadang mendaftarkan anaknya di sini.

“Anak saya dan anak beliau sama-sama belajar di SMI Hidayah Johor Bahru. Anak saya sejak dari sekolah rendah bersekolah di SRI Hidayah yang menekankan aspek pendidikan Islam. Alhamdulillah, dengan adanya PSI ini, ia memberi peluang kepada anak-anak ini untuk mengisi masa mereka dengan sesuatu yang bermanfaat,” ujarnya.

Beliau yang merupakan tenaga pengajar di Pusat Pengajian al-Quran Mizara Network berharap anaknya, Nor Hafizah, akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa dan suatu hari nanti mewarisi peranan beliau sebagai guru al-Quran.

Selain apartmen penginapan yang selesa dan dilengkapi kolam renang, PSI turut menyediakan kemudahan dewan kuliah, bilik kuliah, pusat komputer, perpustakaan dan surau. Ibu bapa dibenarkan melawat anak-anak mereka pada hujung minggu sahaja.

Dalam tempoh empat hari ini, para pelajar akan menjalani sesi suai kenal sebelum memulakan kelas pertama pada hari Jumaat. Pendaftaran PSI akan terus dibuka hingga 31 Januari ini.

No comments:

Post a Comment